300 Pathfinder Dicabar Untuk Tetap Setia Kepada Tuhan Walaupun Menghadapi Pelbagai Cabaran Hidup

Bahasa Malaysia

Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sarawak Mission Media Volunteer
Selasa, 3 November 2026

Seramai 300 orang peserta telah menyertai Northern Pathfinder Camp 2026 yang berlangsung di Rh. Tiut Usit, Setulan, Bintulu, dari 9 hingga 11 Oktober 2026. Perkhemahan yang dianjurkan oleh Kelab Pathfinder Zon Utara Sarawak di bawah naungan Seventh-day Adventist Mission of Sarawak ini membawa tema “Faithful”, yang diinspirasikan daripada kehidupan Yusuf dalam Alkitab.

Perkhemahan ini diketuai oleh MG Sherilyn Stewart, yang telah dilantik secara khusus oleh Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Kelab Pathfinder Sarawak. Beliau dibantu oleh para Master Guide dan Pathfinder dari kawasan utara, khususnya dari Setulan, Semanok, Seterus, Tatau, Bintulu dan Miri. Pelantikan ini menunjukkan komitmen kepimpinan Kelab Pathfinder Sarawak dalam membentuk generasi muda yang beriman, berdisiplin dan setia kepada Tuhan. Dengan sokongan jawatankuasa penganjur, para jurulatih dan sukarelawan, perkhemahan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk menguatkan iman, mempelajari kemahiran baharu dan membina ciri-ciri kepimpinan.

Perkhemahan ini turut menghimpunkan peserta daripada 26 kelab Pathfinder dan Adventurer, sekali gus membuka peluang untuk bersekutu, belajar dan bertumbuh secara rohani. Penyertaan ini juga membantu mengeratkan persahabatan, memupuk perpaduan antara kelab serta menggalakkan semangat pelayanan. Kelab-kelab yang mengambil bahagian ialah Kabiah Pathfinder Club, Swan Glory Pathfinder Club, Semanok Pathfinder Club, Tatau Center Pathfinder Club, Sg. Arip Pathfinder, Sarikei Pathfinder Club, Kuching English Pathfinder Club, Kapit Pathfinder Club, Atarah Pathfinder Club, Batu Kawa Pathfinder Club, Horizon Pathfinder Club, Nyabet Pathfinder Club, Sunny Hill Kindergarten Adventurer Club, Sunny Hill Primary Pathfinder Club, Bunga Pathfinder Club, Batu Bom Pathfinder Club, D’shinning Cross Pathfinder Club, Julau Center Pathfinder, Miri Pathfinder Club, Shooting Star Pathfinder Club, Faloso Pathfinder Club, Pearl of Hope Pathfinder Club, Lumenis Fidei Pathfinder Club, Shine Pathfinder Club, Jupiter Pathfinder Club dan Setulan Pathfinder Club.

Sepanjang tiga hari perkhemahan, para peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kerohanian, sesi pembelajaran kemahiran, aktiviti berkumpulan dan program pembentukan karakter. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Tuhan, mengembangkan kemahiran kepimpinan serta menggalakkan mereka agar tetap setia walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Antara pengisian utama perkhemahan ialah khotbah yang disampaikan oleh MG Daniel Victor, SSD MG Coordinator, pada 10 Oktober 2026. Dalam perkongsiannya, beliau mengingatkan para peserta tentang kepentingan untuk tetap setia kepada Tuhan walaupun menghadapi keadaan yang sukar, seperti yang ditunjukkan oleh Yusuf dalam Alkitab. “Tetaplah setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati walaupun cabaran yang kita hadapi berat, seperti Yusuf,” tegas beliau. Beliau turut mengingatkan bahawa kesetiaan kepada Tuhan tidak seharusnya bergantung pada keadaan yang sedang dialami dalam kehidupan. MG Daniel Victor juga berkongsi pengalaman peribadinya tentang perjalanan iman dan bagaimana seseorang boleh kembali kepada Tuhan setelah melalui suatu tempoh kehidupan yang jauh daripada-Nya. “Dahulu, kehidupan saya pernah jauh daripada Tuhan, tetapi sekarang saya telah kembali kepada Tuhan dan terus setia kepada-Nya,” katanya. Perkongsian peribadi ini mengingatkan para peserta bahawa masa lalu seseorang tidak semestinya menentukan masa depannya. Melalui penyerahan diri kepada Tuhan, setiap individu berpeluang untuk memulihkan hubungan dengan-Nya dan terus berjalan dalam iman.

Tema “Faithful” turut mengingatkan para Pathfinder tentang kehidupan Yusuf, seorang pemuda yang tetap teguh dalam iman dan prinsipnya walaupun menghadapi pelbagai ujian. Kehidupan Yusuf mengajar bahawa kesetiaan kepada Tuhan perlu dipelihara bukan sahaja ketika kehidupan berjalan dengan baik, tetapi juga ketika menghadapi kesukaran, godaan dan ketidakpastian. Selain sesi kerohanian, program perkhemahan turut merangkumi ibadah pagi, doa berkelompok, United Prayer, upacara menaikkan dan menurunkan bendera, demonstrasi kemahiran Pathfinder, kelas honor dan award serta upacara investiture. Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk membantu para peserta membina disiplin, kepimpinan, kerjasama dan komitmen yang lebih kukuh terhadap pelayanan. Para peserta juga mengikuti beberapa kelas honor Pathfinder, termasuk Christian Grooming and Manners, Hebrew, Social Media, Flags, Voice of Youth dan Nutrition. Bagi kelas award pula, mereka mempelajari Bible Storytelling dan Good Samaritan. Melalui kelas-kelas ini, para peserta berpeluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu sambil mempelajari cara mengamalkan nilai-nilai Kristian dalam kehidupan seharian. Perkhemahan ini turut menggunakan lagu tema “Ku Mahu Berjalan Bersama Jurus’lamatku”, yang mengingatkan para peserta untuk terus mengikut Yesus dalam apa jua keadaan, sama ada ketika melalui lembah yang tenang mahupun ketika menghadapi badai kehidupan.

Para peserta juga mengikuti beberapa kelas honor Pathfinder, termasuk Christian Grooming and Manners, Hebrew, Social Media, Flags, Voice of Youth dan Nutrition. Bagi kelas award pula, mereka mempelajari Bible Storytelling dan Good Samaritan. Melalui kelas-kelas ini, para peserta berpeluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu sambil mempelajari cara mengamalkan nilai-nilai Kristian dalam kehidupan seharian. Perkhemahan ini turut menggunakan lagu tema “Ku Mahu Berjalan Bersama Jurus’lamatku”, yang mengingatkan para peserta untuk terus mengikut Yesus dalam apa jua keadaan, sama ada ketika melalui lembah yang tenang mahupun ketika menghadapi badai kehidupan.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Rh. Tiut Usit dan Gereja Seventh-day Adventist Setulan atas kesudian menjadi tuan rumah bagi Northern Pathfinder Camp 2026. Kerjasama, layanan mesra dan sokongan yang diberikan telah memainkan peranan penting dalam menjayakan perkhemahan ini. Penghargaan turut diberikan kepada barisan kepimpinan, jawatankuasa penganjur, para jurulatih, sukarelawan, semua kelab yang mengambil bahagian serta para penyumbang yang telah memberikan masa, tenaga dan sokongan demi menjayakan program ini. Komitmen dan pelayanan mereka telah membantu memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua Pathfinder dan Adventurer. Semoga segala usaha dan pelayanan yang diberikan terus menjadi berkat kepada golongan muda serta memuliakan nama Tuhan.

Secara keseluruhannya, Northern Pathfinder Camp 2026 bukan sekadar sebuah perkhemahan atau peluang untuk mempelajari kemahiran baharu, tetapi juga menjadi satu kesempatan bermakna bagi para peserta untuk menguatkan iman dan memperbaharui komitmen mereka kepada Tuhan. Melalui teladan kehidupan Yusuf dan perkongsian pengalaman iman oleh MG Daniel Victor, para peserta diingatkan bahawa kesetiaan kepada Tuhan merupakan satu keputusan yang perlu dibuat setiap hari.

Dengan penyertaan seramai 300 orang peserta daripada 26 kelab Pathfinder dan Adventurer, pihak penganjur berharap agar mesej “Faithful” akan terus hidup dalam hati setiap peserta. Semoga mereka mempunyai keberanian untuk tetap teguh dalam iman, terus setia menghadapi setiap cabaran dan sentiasa bersedia untuk melayani Tuhan serta sesama manusia. “Faithful – Diinspirasikan daripada Kehidupan Yusuf.”

Jabatan Penatalayanan Belia