Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sukarelawan Media Sarawak Mission
Khamis, 2 Julai 2026

Pelayanan Wanita Advent (Adventist Women’s Ministries, AWM) Bahagian Serian telah berjaya menganjurkan Hari Penekanan Pelayanan Wanita dan Serian Women’s Retreat pada 27 hingga 28 Jun 2026. Program ini dimulakan dengan kebaktian Hari Penekanan Pelayanan Wanita di Gereja Seventh-day Adventist Siluk sebelum diteruskan dengan program retret di Siar Beach Resort. Seramai 92 orang peserta yang terdiri daripada anggota AWM Bahagian Serian (Zon 4 dan Zon 5), bersama-sama anggota jemaat Gereja Seventh-day Adventist Siluk, telah mengambil bahagian dalam program yang bermakna ini. Program tersebut bertujuan memperkukuhkan pertumbuhan rohani, mengeratkan persekutuan, serta menggalakkan setiap peserta untuk terus setia dalam pelayanan kepada Tuhan.

Program ini telah dianjurkan oleh Pelayanan Wanita Bahagian Serian di bawah penyelarasan Puan Matina Kaming. Sambutan Hari Penekanan Pelayanan Wanita dimulakan dengan kebaktian Sabat, diikuti dengan seminar yang disampaikan oleh Puan Annenchi Juwap serta khotbah yang disampaikan oleh Puan Matina Kaming. Kedua-dua penyampaian tersebut berpusat kepada tema “Henani, Here I am!”, yang mengajak setiap peserta untuk menyahut panggilan Tuhan dengan iman, ketaatan dan hati yang rela.
Sepanjang seminar dan kebaktian berlangsung, para peserta diingatkan tentang kepentingan membina hubungan yang lebih akrab dengan Tuhan melalui doa dan kehidupan rohani yang berterusan supaya mereka dapat mendengar suara-Nya dengan lebih jelas serta memberi respons menurut kehendak-Nya. Para penceramah turut menekankan bahawa setiap orang percaya harus sentiasa bersedia menerima panggilan Tuhan pada bila-bila masa, dengan keyakinan bahawa Tuhan akan memperlengkapkan setiap orang yang dipanggil-Nya. Tema “Henani, Here I am!” menjadi satu seruan kepada setiap peserta untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan dan sentiasa bersedia melayani-Nya di mana sahaja Dia memimpin.


Selepas selesai program di gereja, para peserta meneruskan Serian Women’s Retreat di Siar Beach Resort. Program retret ini diserikan dengan pelbagai aktiviti sukaneka dan riadah santai yang bertujuan mengeratkan hubungan, memupuk semangat kerjasama serta memperkukuhkan persaudaraan dalam kalangan peserta dari gereja-gereja yang berbeza. Selain memberikan peluang untuk berehat dan menikmati keindahan ciptaan Tuhan, aktiviti-aktiviti ini juga membantu membina hubungan yang lebih akrab serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan Pelayanan Wanita Bahagian Serian.

Sebagai penutup, Hari Penekanan Pelayanan Wanita dan Serian Women’s Retreat telah menjadi satu program yang penuh bermakna dan membawa pembaharuan rohani kepada semua peserta. Melalui seminar, khotbah dan aktiviti yang dijalankan, para peserta didorong untuk lebih memahami panggilan Tuhan serta menyahutnya dengan hati yang rela dan penuh iman. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama peserta, malah memperbaharui komitmen mereka untuk terus melayani Tuhan dengan sukacita dan kesetiaan. Menjadi doa agar tema “Henani, Ini Aku!” akan terus menjadi pegangan setiap peserta dalam kehidupan seharian, sentiasa bersedia menyahut panggilan Tuhan demi kemuliaan nama-Nya.
Women Ministry Department