Ditulis oleh Alleyhandra Celio Anak Anis, Sukarelawan Media Sarawak Mission
Khamis, 9 April 2026

Pada 28 Februari 2026, satu Seminar Pendidikan mengenai Integrasi Iman dalam Pembelajaran telah diadakan di Association of Churches in Sarawak (ACS), Samling Hall di Kuching, Sarawak. Program sehari penuh ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Mission Seventh-day Adventist Sarawak dan Jabatan Pendidikan Malaysian Union Mission (MAUM). Seminar ini bertujuan untuk membantu para pendidik memahami cara mengintegrasikan iman dalam proses pembelajaran secara bermakna dan praktikal.

Seminar ini menampilkan tujuh topik yang disampaikan oleh lima orang pembentang. Pastor Terry Valten Simon, Pengarah Pendidikan Mission Sarawak, berkongsi mengenai pengajaran sebagai satu pelayanan dalam pendidikan Adventist. Encik Alben Rotop, Pengarah Pendidikan Mission Sabah, membentangkan tentang bagaimana pendidikan boleh membawa kepada perubahan hidup. Pastor Maclan Matthew dari Mission Peninsular pula menyampaikan topik mengenai peranan gereja dan sekolah sebagai satu misi, termasuk pendekatan pemuridan dalam sekolah.

Encik Golden Gadoh, Pengarah Pendidikan MAUM, membentangkan topik mengenai bahaya pembelajaran tanpa iman. Seminar ini turut diberkati dengan kehadiran penceramah jemputan khas, Dr. Naltan Lampadan Senior Lecturer dari Asia-Pacific International University, Thailand. Beliau menyampaikan tiga topik yang bermakna, iaitu tentang panggilan sebagai pendidik, kepentingan mengintegrasikan iman dalam pembelajaran harian, serta membentuk pelajar dari segi karakter, iman, dan pelayanan.
Kira-kira 100 orang peserta telah menghadiri seminar ini. Mereka terdiri daripada guru-guru dan kakitangan dari Tadika Sunnyhill, Sekolah Rendah Sunnyhill, Sekolah Menengah Sunnyhill, serta Tadika dan Sekolah Rendah Ayer Manis. Sepanjang seminar, para peserta mendengar, berkongsi idea, dan mempelajari cara-cara praktikal untuk mengaplikasikan iman dalam pengajaran. Seminar ini membantu mereka menyedari bahawa pendidikan bukan sahaja tentang pengetahuan, tetapi juga tentang pembentukan karakter dan iman pelajar.
Pada akhir seminar, Encik Golden Gadoh telah menyampaikan seruan komitmen kepada semua peserta. Pastor Brian Scott Padam, Setiausaha Eksekutif Mission Seventh-day Adventist Sarawak, memimpin doa penyerahan bagi semua yang hadir.

Sebagai kesimpulan, seminar ini merupakan satu pengalaman yang bermakna dan memberi inspirasi kepada semua peserta. Ia mengingatkan setiap pendidik bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan pelajaran, tetapi membentuk kehidupan. Dengan semangat yang diperbaharui dan tujuan yang lebih jelas, para peserta kembali ke sekolah masing-masing dengan komitmen untuk mengajar dengan iman, melayani dengan kasih, dan membimbing pelajar mendekatkan diri kepada Tuhan.
Jabatan Pendidikan