Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sukarelawan Media Misi Sarawak
Rabu, 20 Ogos 2025

Dr. Lee berkunjung ke Kampung Plaie, Simunjan, bersama para pemimpin dari Misi Sarawak.
Dari Seoul, Korea Selatan, Dr. Seongok Lee memperkenalkan misinya yang dikenali sebagai “111 Mission”. Visi beliau adalah untuk membangunkan 111 buah gereja, 100 buah sekolah misi, 10 buah sekolah menengah, dan 1 institusi pengajian tinggi di atas tanah yang seluas 500 hektar, sekaligus memimpin sekurang-kurangnya 11,100 orang kepada Yesus. Pada tahun 2025, impiannya itu telah pun membuahkan hasilnya. Sebanyak 54 buah gereja telah didirikan, ditambah dengan 17 buah Sekolah Misi dan 4 buah Sekolah Menengah, sementara lebih dari 6,190 jiwa telah memberikan hidup mereka untuk Yesus Kristus melalui misi ini.

Selama bertahun-tahun, Dr. Lee membuat pelayanan di Mountain View College di Filipina, di mana beliau mendidik para mahasiswa dan memberikan galakkan kepada calon pemimpin masa hadapan. Niat pelayanannya itu juga membuatkannya berkali-kali berkunjung ke Sarawak, Malaysia, untuk menyokong anggota tempatan melalui projek pembangunan gereja, pelayanan masyarakat, dan pemberitaan Injil. Setiap kunjungan yang dilakukan mencerminkan keinginannya agar komuniti bertumbuh, baik secara rohani mahu pun dalam kehidupan seharian.

Pada 12 Ogos 2025, Dr. Lee berkunjung ke Kampung Plaie, Simunjan, bersama para pemimpin dari Misi Sarawak. Turut hadir dalam rombongan tersebut Pendeta Semilee Tajau, Encik Dave Keith Mina, Pendeta Andrew Ganya, Pendeta Chan Tin Loi, serta pendeta yang bertugas di kawasan tersebut, Pendeta Stephen Kalong dan Pendeta Jabeni Keli. Tujuan kunjungan mereka adalah untuk meneroka kemungkinan pembangunan gereja baru bagi kelompok Advent di kawasan tersebut. Di sana, Dr. Lee bertemu dengan para anggota, termasuk Chundi Anak Antang yang selama ini setia memimpin anggota di kawasan ini. Berkat komitmen anggota, sebidang tanah berhasil diperoleh dengan harga yang berpatutan, dan pembangunan gereja Plaie dirancang untuk dimulakan pada tahun 2026.

Semasa lawatan beliau, beliau menyampaikan kata-kata semangat yang sangat menyentuh hati para anggota. Beliau berpesan, “Tuhan akan membekalkan keperluan kita selama kita tetap setia kepada-Nya. Tuhan sendiri yang akan membuat segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya.” Pesan ini meneguhkan iman para anggota gereja dan memberi mereka semangat baru untuk meneruskan pelayanan mereka. Dr. Lee juga berjanji akan mencari penaja dari Korea untuk membantu pembangunan gereja tersebut.
Tujuan pembangunan Gereja Advent Hari Ketujuh Plaie lebih dari sekadar menyediakan tempat beribadah setiap Sabat. Gereja ini diharapkan menjadi pusat pertumbuhan rohani, persekutuan, dan pelayanan yang memberi dampak bagi seluruh masyarakat Kampung Plaie. Ia akan menjadi berkat, membawa pengharapan, kesatuan, dan kasih Kristus ke dalam kehidupan masyarakat setempat.

Kesimpulannya, kunjungan Dr. Lee ke Kampung Plaie menjadi detik penguatan iman dan penyatuan visi bagi anggota setempat. Dengan rancangan pembangunan yang akan dimulakan pada tahun 2026, para anggota menantikan tempat yang kekal untuk melayani Tuhan. Misi Advent Sarawak dan Dr. Lee mengajak semua umat Tuhan untuk terus mendoakan projek ini, agar Gereja Plaie dapat menjadi berkat dan cahaya penerang bagi masyarakat Kampung Plaie.
Misi Sarawak