Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sukarelawan Media Sarawak Mission
Selasa, 21 Julai 2025

Seventh-day Adventist Mission of Sarawak telah berjaya menganjurkan Latihan Senior Youth Leader (SYL) pada 18 Julai 2026 di Dewan Sekolah Ayer Manis, Serian. Program sehari ini telah menghimpunkan seramai 130 peserta daripada pelbagai gereja di seluruh Sarawak yang mempunyai semangat untuk melayani Tuhan melalui pelayanan belia. Latihan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, membina semangat kerjasama, membantu para peserta mengenal pasti tujuan hidup yang telah ditentukan oleh Tuhan, serta mempersiapkan mereka menjadi pemimpin belia yang memberi impak kepada gereja dan masyarakat.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, puji-pujian dan doa pembukaan sebelum diteruskan dengan pelbagai sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh pastor serta pemimpin belia yang berpengalaman. Sepanjang latihan, para peserta didedahkan kepada pelbagai topik penting seperti pengenalan kepada Pelayanan Belia Adventist, pembangunan belia, isu-isu semasa, kepimpinan rohani, bimbingan mentor, perancangan gereja, pelayanan belia yang kreatif, karunia rohani dan pelayanan, penginjilan belia serta pelayanan digital. Sesi-sesi ini telah disampaikan oleh Pr. Chan Tin Loi, Timothy Suwai, Sylvia Vincent, Macklin Peter, Pr. Jeremea Ladin, Pr. Eric Sanjay dan Pr. Gibson Sumbang, yang berkongsi prinsip-prinsip Alkitab serta pendekatan praktikal bagi memperlengkapkan para peserta untuk melayani dengan lebih berkesan.

Satu amanat khas turut disampaikan oleh Pr. Brian Scott Padam, Setiausaha Eksekutif Seventh-day Adventist Mission of Sarawak. Dalam perkongsiannya, beliau menggalakkan para peserta untuk menjadi terang di mana sahaja mereka berada, khususnya dalam kalangan golongan muda. Beliau turut mengingatkan agar setiap pemimpin belia sentiasa mempersiapkan hati mereka untuk menyambut kedatangan Yesus Kristus yang kedua kali. Berpandukan Matius 28:19–20, beliau menekankan pentingnya melaksanakan Amanat Agung dengan setia, iaitu pergi menjadikan semua bangsa murid Kristus dan membaptiskan mereka dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Amanat tersebut mengingatkan para peserta bahawa kepimpinan Kristian bukan sekadar memimpin, tetapi juga membawa orang lain mengenal dan mengikut Yesus Kristus.

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama ramai pihak yang telah melayani dengan penuh dedikasi. Program ini diselaraskan oleh Timothy Suwai selaku Pengerusi Jabatan Belia SAK Mission, manakala Timothy Suwai dan Sylvia Vincent bertugas sebagai pengacara majlis. Pelbagai jawatankuasa termasuk pasukan pendaftaran, jurulatih, teknikal, audio visual, penyediaan makanan, pemberian sijil dan para sukarelawan turut memainkan peranan penting dalam memastikan setiap sesi berjalan dengan lancar dan memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada semua peserta.


Sebagai penutup, Latihan Senior Youth Leader (SYL) diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta serta sesi bergambar sebagai kenangan. Program ini bukan sahaja memperlengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan, malah memperbaharui semangat mereka untuk terus melayani Tuhan melalui pelayanan belia. Menjadi doa agar setiap peserta akan terus mengamalkan segala yang telah dipelajari, menjadi pemimpin yang setia, membimbing lebih ramai belia kepada Kristus, dan mempersiapkan generasi akan datang untuk kedatangan Yesus Kristus yang tidak lama lagi. Segala kemuliaan hanya bagi Tuhan.
Youth Ministry Department