Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sukarelawan Media Sarawak Mission
Rabu, 15 Julai 2026

Satu kebaktian khas telah diadakan pada 7 Julai 2026 di Gereja Seventh-day Adventist Plaie bersama Pasukan Fly & Build dari Australia. Kebaktian ini menjadi satu kesempatan yang penuh sukacita untuk memuji dan bersyukur kepada Tuhan atas kesetiaan-Nya serta perkembangan projek pembinaan Gereja Seventh-day Adventist Plaie. Program ini turut menghimpunkan anggota jemaat, para pemimpin gereja dan para tetamu untuk bersama-sama mengukuhkan iman serta menyokong misi Tuhan.

Jemaat telah diberkati melalui firman Tuhan yang disampaikan oleh Pr. Calvin Townend, Ketua Pasukan Fly & Build. Dalam khotbahnya, beliau mengingatkan bahawa, “Tujuan gereja adalah untuk mempersiapkan diri kita dan orang di sekeliling kita bagi menyambut Kedatangan Yesus Kristus yang Kedua Kali.” Beliau menekankan bahawa gereja bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi merupakan tempat umat Tuhan berkumpul untuk beribadah, bertumbuh dalam iman, serta mempersiapkan diri dan orang lain bagi kedatangan Kristus yang tidak lama lagi.

Kebaktian khas ini turut diserikan dengan kehadiran Pr. Semilee Tajau, Presiden Sarawak Mission; Pr. Brian Scott Padam, Setiausaha Eksekutif Sarawak Mission;; Pr. Andrew Ganya, Penyelaras Pembinaan Gereja Sarawak Mission; para pastor daerah, pengarah jabatan, serta anggota jemaat dari Kedumpai, Plaie dan gereja-gereja berhampiran. Kehadiran mereka mencerminkan semangat perpaduan dan sokongan terhadap pelayanan serta pembangunan gereja.


Penghargaan yang tulus turut diberikan kepada Pr. Calvin Townend, Ron sekeluarga, serta seluruh pasukan sukarelawan Fly & Build dari Australia atas kesediaan mereka membantu dalam pembinaan rumah Tuhan. Pelayanan, pengorbanan dan komitmen mereka telah menjadi satu berkat yang besar kepada jemaat di Plaie dan masyarakat setempat. Kerjasama ini menjadi bukti bahawa umat Tuhan dari pelbagai tempat dapat bersatu hati dalam melaksanakan misi-Nya.


Sebagai penutup, kebaktian khas ini menjadi satu peringatan yang bermakna tentang kasih, kesetiaan dan pimpinan Tuhan dalam setiap langkah pembangunan gereja ini. Seperti yang tertulis dalam Mazmur 127:1, “Jikalau bukan TUHAN yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya.” Menjadi doa agar Tuhan terus memberkati setiap sukarelawan, pemimpin gereja dan semua yang terlibat dalam pelayanan ini. Semoga Gereja Seventh-day Adventist Plaie akan menjadi tempat di mana ramai orang mengenal Yesus Kristus, bertumbuh dalam iman, dan dipersiapkan untuk menyambut kedatangan-Nya yang kedua kali.
Church Building Coordinator