“Renew, Refocus, Lead” — Kem Survival Master Guide Membentuk Iman, Karakter & Kepimpinan dalam Alam Semula Jadi

Bahasa Malaysia

Ditulis oleh Alleyhandra Celio anak Anis, Sukarelawan Media Misi Sarawak

Selasa, 29 Julai 2025

Kem ini bukan sekadar menjalani aktiviti lasak, tetapi sebuah perjalanan pembangunan rohani dan kepimpinan yang melatih pemimpin muda untuk melayani Tuhan dengan ketabahan, keimanan, dan integriti. [Gambar diambil oleh Gibson Sumbang]

Dari 25 hingga 27 Julai 2025, seramai 84 peserta yang terdiri daripada “Master Guide” dan “Master Guide in Training” telah berkumpul di Pusat Belia Segong untuk menyertai Kem Survival Master Guide yang bertemakan “Renew. Refocus. Lead.” yang bermaksud, “Pembaharuan. Fokus semula. Kepimpinan.”. Kem ini bukan sekadar menjalani aktiviti lasak, tetapi sebuah perjalanan pembangunan rohani dan kepimpinan yang melatih pemimpin muda untuk melayani Tuhan dengan ketabahan, keimanan, dan integriti. Tujuan utama kem ini adalah untuk membentuk pemimpin yang yakin dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan sebenar sambil kekal teguh pada misi pelayanan mereka.

Sepanjang tiga hari yang mencabar ini, para peserta mendirikan khemah di kawasan hutan dan bertanggungjawab menyediakan makanan mereka sendiri. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dan menjalani latihan secara langsung dalam Pertolongan Cemas Tahap 2, CPR, Pembinaan Api, Masakan Kem, serta berjaya mendapatkan Honor Wilderness Leadership. Latihan General Alarm Drill dijalankan untuk menguji kepekaan dan tindak balas kecemasan setiap peserta. Antara sorotan utama ialah kelas Honor yang diajar oleh MG Alrin Tajim dan MG Sylvia, yang memberi sumbangan besar dalam kem ini, satu penghormatan besar untuk belajar di bawah bimbingan mereka.

Pembangunan rohani terus menjadi teras utama dalam kem ini. Dalam ucapannya, MG Chan Tin Loi menyeru peserta untuk “memperbaharui hubungan dengan Tuhan setiap hari agar kita dapat terus fokus dalam pelayanan kita kepada-Nya.” MG Semilee turut mengingatkan, “Integriti adalah kunci dalam pelayanan sebagai Master Guide, ia mencerminkan siapa diri kita yang sebenar.” Mesej-mesej ini menjadi cahaya panduan sepanjang kem, mengingatkan para peserta bahawa kepimpinan sejati bermula daripada hubungan yang mendalam dengan Kristus dan karakter yang berakar pada kebenaran.

Kejayaan kem ini adalah hasil daripada dedikasi dan kerjasama pasukan penganjur yang berdedikasi: MG Felicia Alvin (Penasihat), MG Timothy Suwai (Pengarah Kem), MG Herony Castilo (Setiausaha), MG Wilson Somulu (Bendahari), MG Valarea Hansoo (Ketua Tapak & Kebersihan), MG Albert (Komander Kem), dan MIT Gibson Sumbang (Jurugambar & Juruvideo). Perancangan yang teliti dan khidmat mereka yang tanpa jemu telah memastikan perjalanan kem berjalan dengan lancar dan penuh makna.

Menjelang penutupan kem, beberapa peserta telah dipilih and menyerlah oleh kerana semangat dan contoh teladan yang luar biasa. MG Liah Anak Akeng telah dinobatkan sebagai Peserta Wanita Terbaik, manakala MIT Andy Pangau menerima anugerah Peserta Lelaki Terbaik, kedua-duanya menunjukkan semangat, keberanian dan sikap rendah diri sepanjang kem dijalankan. Anugerah Khemah Terbaik pula dimenangi oleh Kelab Pathfinder Engkaroh, yang menunjukkan kerjasama, kekemasan dan semangat perpaduan dalam kumpulan. Setiap peserta pulang bukan sekadar dengan cenderahati, tetapi dengan semangat yang diperbaharui, hala tuju yang lebih jelas, dan kesediaan untuk memimpin dengan kasih, penuh dengan iman dan berintegriti.

Jabatan Belia